Sabtu, 18 Februari 2012

Sebarkanlah ilmu walau dgn sebaris ayat


INFO AGAMA: Cara Mandi Wajib Yang Betul Dan Sah…

Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut,tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak umat Islam di tanah air kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.Untuk melakukan mandi wajib yang betul,seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya,ia mesti dilakukan dalam kedua2 keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),Ustaz Haji Mat Jais Kamos, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah,didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

“Akibatnya,mandi wajibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.Apabila mandi wajib tidak sah,ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul.” tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur.

Mandi wajib yang juga disebut sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam.Setiap orang yang melakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun2nya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah.

Rukun mandi wajib ada 3 perkara:

Pertama : Niat.

Kedua : Menghilangkan najis pada badan.

Ketiga : Meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.” Atau ” Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.”

Niat itu didalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana2 bahagian anggota badan.Bagi perempuan yang habis haid,niat mandi wajib ialah: "Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.” Manakala bagi perempuan yang habis nifas,niat mandi wajibnya ialah: "Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala”.

Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah 1 anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah.Oleh itu dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air keseluruh anggota badannya.Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan,niat itu juga tidak sah. Oleh itu mandi wajibnya tidak sah.

Mengenai rukun mandi wajib yang ke 2,iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan,menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan,najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib.Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib yang ke 3,iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir,meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan,sama ada bulu2 yang jarang atau lebat.Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul,sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka.Bulu2 dalam lubang hidung pula,tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin.Tetapi sekiranya,bulu2 di dalam hidung itu bernajis,ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula,jika di dalam kuku ada kotoran yg boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku,kotoran itu wajiblah dibuang.Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yg diwarnakan pula selain inai,inilah yang merumitnya. Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai,mandi wajib seseorang itu tidak sah.Oleh itu,seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai,jika dia hendak mandi wajib,dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu.Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana? Inilah yang rumitnya,sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai.Inai sebenarnya akan meresap ke rambut,tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini,jangan pula ada yang salah faham.Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis,bukanlah bermaksud menjadi tidak sah.Dalam hal ini,sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza.Jadi,mestilah dipandang dari sudut yg berbeza.Dalam hal ini juga,sukalah saya menyatakan,huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib.Jadi,ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab2 seseorang itu wajib mandi wajib pula,Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab2nya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani,keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja,iaitu keluar darah haid,nifas dan melahirkan anak(wiladah).

Mandi wajib boleh dilakukan dimana2 dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga,air paip,sungai laut dan tasik.Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula,mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh,tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat.

Selepas bersetubuh pula,jika ia dilakukan pada waktu malam,jika tidak mahu mandi wajib lagi, seelok2nya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat,manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.

Rasulullah S.A.W Bersabda : " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat, Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafaat kepada manusia lain." [Hadith Riwayat Muslim]...
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Riwayat: Anas r.a
Kategori: Akidah
Hadith:
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: "Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?" (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya."
Huraian Hadith:
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: "Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?" (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya."...
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
RAHSIA SURAH AL - KAUTHSAR

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat dan diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga.Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.


Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa,mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya'allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal,bengkak,sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x,mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5)Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x,Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi

 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PETUA DIMURAHKAN REZEKI

1. Jangan sekali-kali lupa untuk menunaikan ibadah kepada Allah
Walau sibuk macammana sekalipun, pastikan diri kita sentiasa menunaikan perintah2 Allah. Beribadah kepada Allah, maka insyaAllah pasti diri kita akan dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan.
Allah (SWT) tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-
Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan
membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah (SWT) , yang menjadi sebab Allah (SWT) jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah (SWT) s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,
Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah (SWT) jika masih buat dosa. Dosa bukan
saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w. :
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa
yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Berzikir dan Sentiasa ingat Allah (SWT)
Banyak ingat Allah (SWT) buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah (SWT) beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah (SWT) . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (SWT) hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar
siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan
Allah (SWT) akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w. :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya
nescaya terputuslah rezeki (Allah (SWT) ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan
dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w. :
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana
orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah (SWT) akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyakkan berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita
tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,
kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan
terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan
rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Bangun pagi awal (Jangan tidur sampai tengahari)
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membaca keberkatan dan murah rezeki.

11. Bangun awal pagi (Jangan tidur sampai tengahari)
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membawa keberkatan dan murah rezeki.

12. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

13. Selalu berada dalam keadaan berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah (SWT) . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah (SWT) akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

14. Selalu Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah (SWT) dan menjadi sebab Allah (SWT) buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah (SWT) azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah (SWT) membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah (SWT) menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

15. Selalu bangun solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah (SWT)

16. Selalu menunaikan Solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah (SWT) dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

17. Bersyukur kepada Allah (SWT)
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah (SWT) . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah (SWT) berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

18. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah (SWT) , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah (SWT) ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah (SWT) , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.”
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

19. Selalu berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah (SWT) , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah (SWT) suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

mohonlah kepada Allah...

20. Berusaha dan berikhtiar sehabis baik
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah (SWT) berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah (SWT) beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

21. Bertawakal dan meletak sepenuh harapan hanya kepada Allah
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah (SWT) . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah (SWT) , nescaya Allah (SWT) mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah (SWT) dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebutkan di atas adalah amalan-amalan yang membawa
kepada takwa. Dengan takwa, Allah (SWT) akan beri “jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan
yang tidak terlintas di hatinya.” (Rujuk At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata
yang sebenarnya, kuncinya adalah melaksanakan ibadah dan amalan-amalan yang menambahkan ketakwaan kepada Allah.
Amalan-amalan takwa ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah (SWT) , lalu Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Sekian, semoga kita semua dimurahkan rezeki dan hidup dengan penuh keberkatan dan rahmah daripadaNYA. InsyaAllah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ADAKAH SAH SEMBAHYANG DENGAN MINYAK WANGI DAN MINYAK RAMBUT YANG MENGANDUNGI ALKOHOL .?.

Islam telah meletakkan kebersihan sebagai kunci bagi sahnya ibadat sembahyang. Oleh kerana itu tidak akan diterima sembahyang seorang muslim sehingga badannya bersih, pakaiannya bersih dan tempat yang digunakan pun dalam keadaan bersih. Kebersihan dikira sebagai menentukan sahnya sembahyang seseorang itu, kerana najis yang terdapat pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah.

Persoalan alkohol selalu dikaitkan dengan sah atau ketidaksahan sembahyang, kerana itu timbullah keraguan adakah alkohol itu najis? Ini kerana ada sebahagian minyak wangi dan minyak rambut mengandungi alkohol sehingga timbul persoalan, bolehkah minyak wangi atau minyak rambut yang bercampur alkohol dibawa sembahyang?

Pengertian alkohol :

Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara.

i. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)

ii. Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Websters Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)

Cara yang pertama di atas merupakan cara bagaimana menghasilkan khamar (arak) atau minuman yang memabukkan.


Kenajisan arak :

Menurut jumhur (majoriti) ulama yang terdiri daripada Imam-Imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafie˜i, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama rahimahumullah, arak adalah najis berdasarkan firman Allah s.w.t.:

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah ayat 90)

Oleh kerana arak itu menurut jumhur ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak adalah najis juga hukumnya.

Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak dari sebab kenajisan arak. Dari itu, dapat difahami bahawa alkohol itu bukanlah semestinya najis jika ia tidak diambil daripada arak, sebagai contoh tapai yang biasa dimakanpun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak haram dimakan kerana sifatnya yang tidak memabukkan.

Akan tetapi, jika tapai itu sifatnya memabukkan (sampai ke peringkat boleh memabukkan), maka memakan tapai itu adalah haram. Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia yang mana sifatnya sangat memudharatkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulamapun yang menghukumkannya sebagai najis ainiyyah.

Imam an-Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair. Maksudnya setiap yang memabukkan lagi cair.

Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi rahimahullah di atas berkata: "(Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan di sini ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal.

Ibnu Hajar rahimahullah menghuraikan lagi: (Cecair) itu seperti arak dengan segala jenisnya yang diambil daripada anggur; dan nira (tuak) yang diambil selain daripada anggur. Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap arak mengandungi alkohol, tetapi tidak semua alkohol berasal daripada arak.

Hukum alkohol daripada arak. Alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak, meminumnya adalah jelas haram sebagaimana keterangannya di atas. Adapun menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak adalah haram juga, kerana berlumur dengan najis tanpa ada keperluan yang syar’i adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar rahimahullah: "Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar’i)"

Dengan itu, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis.

Hukum alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia. Alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Bagaimanapun minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis.

Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.

Perkara yang meragukan hendaklah ditinggalkan Tetapi yang menjadi persoalan ialah kita tidak dapat mempastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam sesuatu minyak wangi atau minyak rambut itu, adakah ia diambil dari sumber yang suci atau najis?

Apabila timbul keraguan seumpama ini, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan. Hasan bin Ali radhiallahu anhuma meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah shallallahu alaihi wasallam yang bersabda maksudnya : "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu." (Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasaâi, Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam hadis yang lain pula dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragui kehalalan dan keharaman sesuatu perkara adalah menandakan kesungguhan seseorang itu dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram.

Sabda Rasulullah Shallallahu ˜alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu’man bin Basyir radhiallahu anhu:Maksudnya: "Maka barangsiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhat, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (dari kecaman); dan barangsiapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhat (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram." (Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu jelaslah menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak adalah haram, kerana ia adalah najis dan tidak sah dibawa sembahyang. Manakala minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah diharuskan, kerana ia bukan najis dan sah dibawa sembahyang.

Walau bagaimanapun apabila timbul keraguan terhadap kedudukan alkohol yang terdapat dalam minyak wangi atau minyak rambut, sama ada ia diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, menurut ajaran Islam adalah lebih selamat perkara tersebut ditinggalkan dari menggunakannya. Tambahan pula di pasaran banyak terdapat minyak wangi atau minyak rambut yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi pilihan kita

Wallahu'alam
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
42 NASIHAT AGAMA YG BERGUNA

بسم الله الرحمن الرحيماحفظ الله يحفظك
1-Jika kamu menjaga hak-hak Allah SWT, Allah SWT akan menjaga hak-hak kamu.

إذا لم تستح فاصنع ما شئت
2-Jika kamu tidak malu kepada Allah SWT, lakukan apa yang kamu kehendaki.

أطب مطعمك تكن مجاباالدعوة
3-Elokkan makanan kamu, pasti Allah SWT memaqbulkan segala permintaan kamu.

اتق الله حيثما كنت
4- Takutlah kepada Allah SWT, walau dimana kamu berada.

اتْبع السيئة الحسنة تمحها
5- Balaslah kejahatan dengan kebaikan pasti kamu mendapat ganjarannya.

خالقِ الناس بخلق حسن
6- Berakhlaklah dengan manusia dengan sebaik-baik akhlak.

اتق المحارم تكن أعبد الناس
7-Takutlah kepada perkara-perkara dosa, pasti kamu akan menjadi Hamba Allah SWT terbaik.

ارض بما قسم الله لك تكن أغنى الناس
8-Redhalah dengan pembahagian Allah SWT, pasti kamu akan menjadi manusia paling kaya.

أحبّ للناس ما تحبّ لنفسك
9-Sayangilah manusia sebagaimana kamu sayang pada diri kamu sendiri.

لا تُكثر الضّحك فإنّكثرة الضحك تميت القلب
10- Jangan terlalu banyak ketawa, kerana dengan banyak ketawa boleh menyebabkan hati mati.

الظّلم ظلمات يوم القيامة
11-Kezaliman adalah kegelapan di Akhirat kelak.

اتقوا الله واعدلوا في أولادكم
12-Bertaqwalah kepada Allah SWT dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu.

اتق النار ولو بشقّ تمرة
13- Jauhilah daripada api neraka walau sekadar bersedekah dengan sebiji tamar.

اتقوا دعوة المظلوم
14- Takutlah kepada doa orang-orang yang telah kamu zalimi.

أثقل شيء في الميزان الخلق الحسن
15- Perkara yang paling berat dalam timbangan Allah SWT adalah Akhlak dan Budi Pekerti yang mulia.

التأني من الله والعجلة من الشيطان
16-Bertindak dengan tenang adalah ajaran Allah SWT dan Gopoh-gapah adalah ajaran daripada syaitan.

قلة المال أقلّ للحساب
17-Orang yang sedikit harta, mendapat kiraan yang senang daripada Allah SWT.

لا تغضب ولك الجنة
18- Jika kamu tidak bersifat pemarah kamu akan miliki Syurga.

أحبّ الأعمال إلىالله أدومها وإن قلّ
19- Amalan yang paling Allah SWT sukai adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

أحب البلاد إلى الله مساجدها
20-Tempat yang paling Allah SWT sukai dalam sebuah negeri adalah masjid.

أبغض البلاد إلىالله أسواقها
21-Tempat yang paling Allah SWT benci dalam sebuah negeri adalah pasar-pasar.

أحبّ الطعام إلى الله ما كثرت عليه الأيدي
22-Makanan yang paling Allah SWT sukai adalah makanan yang disedekah secara ramai-ramai.

أحب الكلام إلى الله أن يقول العبد سبحان الله وبحمده
23-Perkataan yang paling Allah SWT sukai adalah : سبحان الله وبحمده
أحب الناس إلى الله أنفعهم
24-Orang yang paling Allah SWT sukai adalahr oang yang pandai mencari manfaat dalam agama.

أحبّ الأعمال إلى الله سرور تُدخله على مسلم
25-Amalan yang paling Allah SWT sukai adalah amalan yang mendatangkan kesukaan kepada manusia.

من كفّ غضبه ستر الله عورته
26-Sesiapa dapat menahan kemarahannya, allah SWT akan menutup perkara yang memalukannya.

سوء الخلق يُفسد العمل كما يُفسد الخلّ العسل
27- Akhlak buruk adalah merosakkan amalan sebagaimana cuka merosakkan madu.

أحبّ عباد الله إلى الله أحسنهم خلقا
28- Hamba yang paling Allah SWT sayangi adalah hambanya yang paling Mulia Akhlaknya.

إحذروا الدنيا فإنها خضرة حلوة
29-Hati-hati dengan dunia kerana ianya elok pada pandangan dan manis pada citarasanya.

إحفظ لسانك
30-Jagalah lidah kamu.

أدّ الأمانة إلى من ائتمنك
31-Laksanakan amanah kepada mereka yang mempercayai amanah yang telah kamu miliki.

لا تخن من خانك
32-Janganlah kamu menipu kepada orang yang telah menipu kamu.

أدعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة
33-Berdoalah kepada Allah SWT dalam keadaan yang kamu yakin kepada penerimaanya.

بشروا ولا تنفروا
34-Berilah berita gembira, janganlah kamu menakut-nakutkan seseorang.

يسّروا ولا تُعسّروا
35-Permudahkanlah sesuatu urusan, jangan kamu memayahkan sesuatu urusan.

كل بيمينك وكل مما يليك
36-Makanlah dengan tangan kanan dan makanlah apa yang kamu layak makan.

إذا آتاك الله مالا فليُر أثر نعمة الله عليك
37-Jika kamu didatangi nikmat atau harta, maka perhatikan kesan nikmat tersebut keatas diri kamu.

إذا أتاكم كريم قوم فأكرموه
38-Jika sesuatu kaum menganugerahkan kepada kamu kemulian, maka muliakan mereka.

إذا أتاكم من ترضون دينه وخُلُقه فزوّجوه
39-Jika kamu didatang seseorang lelaki untuk meminang anak kamu, dan dia memiliki nilai-nilai agama dan kemulian akhlak maka terimalah pinangannya atau kahwinkan dia.

إذا أراد الله بأهل بيت خيرا أدخل عليهم الرّفق
40-Jika Allah SWT menghendaki sesuatu ahli keluarga itu bahagia, Allah SWT akan mencampakkan perasaan Kasih Sayang dalam ahli-ahli keluarga tersebut.

إذا أسأت فأحسن
41-Jika manusia melakukan kejahatan kepada kamu, maka lakukanlah kebaikkan kepada mereka.

إذا حاك في نفسك شيء فدَعْه
42-Jika ada orang melaga-lagakan kamu, biarkanlah dia...
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Wahai perempuan... Tahukah bahawa kamu itu sangat bernilai...


Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunia ini adalah perempuan.

Percaya? Saya bukan nak main gula-gula di sini. Tetapi saya serius menyatakannya. Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunai ini adalah perempuan.

Mengapa?

Apakah kamu tidak tahu megapa saya sayangi kamu? Adakah kamu tidak menyedari betapa istimewanya kamu?

Aku dari rahim seorang perempuan

Kalau difikirkan semula, tiada lelaki yang dilahirkan selain dari rahim ibu melainkan Nabi Adam AS. Perhatikanlah Sultan, pemerintah, perdana menteri, laksmana, tentera, pegawai, jurutera, doktor, doktor falsafah, genius, semuanya dilahirkan dari perut seorang perempuan.

Saya, dari rahim seorang perempuan juga.

Tiada manusia dilahirkan hebat. Mereka semua dilahirkan sebagai manusia biasa. Tetapi biasanya manusia-manusia hebat ini mempunyai ibu yang hebat di sisi mereka. Yang mendidik dan memberikan suasana kepada mereka semenjak kecil.

Mengapa pula saya tidak menyayangi perempuan? Mengapa pula saya tidak mengambil berat terhadap mereka? Dari rahim mereka lahirnya pewaris masa hadapan!

Sekiranya saya membiarkan perempuan rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka, maka sama sahaja dengan saya membiarkan masa hadapan dunia hancur, gelap, kelam dan hitam.

Jangan lupa, dari rahim perempuan juga lahirnya penderhaka, penjenayah, perogol, pencuri, yang ingkar kepada Allah, pembohong, dan banyak lagi manusia-manusia yang mencorakkan dunia dengan kehitaman.

Sekiranya perempuan yang menggendong masa hadapan dunia selama 9 bulan 9 hari ini rosak, di mana masa hadapan dunia?

Mustahil saya tidak menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan yang saya inginkan, melainkan perempuan juga menyayangi diri mereka dan menjaga peribadi mereka daripada perkara yang Allah larang dan murka.

Perempuan sayap kiriku

Saya hendak berkahwin dengan siapa? Mustahil dengan lelaki. Baik macam mana pun saya dengan mereka, mustahil saya akan berkahwin dengan mereka.

Saya akan berkahwin dengan seorang perempuan.

Mustahil saya tidak menyayangi kaum ini. Yang menjadi isteri-isteri dan pendamping kepada lelaki. Yang menjadi pengawal kepada segala rahsia seorang lelaki. Yang menjadi guru kepada anak-anak seorang lelaki. Yang menjadi penenang dan penyejuk mata serta pendamai jiwa seorang lelaki.

Kestabilan seorang perempuan, menjamin kestabilan seorang lelaki.

“Apabila enta bangun tidur dan melihat isteri enta di sebelah, enta akan merasakan keajaiban penciptaan Allah SWT” ~ Pakcik Rosdi. Dan dia berkata dalam keadaan tersenyum. Hidupnya bahagia dengan ketenangan isterinya: Cikgu Maimunah

Maka mustahil saya hendak membiarkan perempuan rosak, dirosakkan atau merosakkan diri mereka sendiri. Kerana mereka adalah penjaga-penjaga lelaki di satu sisi. Suami-suami memerlukan isteri-isteri yang solehah, yang baik, yang taat kepada Allah dalam rangka hendak membangunkan ummah.

Tidak dinafikan isteri-isteri juga memerlukan suami-suami yang baik. Tetapi bukan sedikit lelaki yang berubah kerana cinta seorang perempuan. Maka mengapa perempuan tidak mempersiapkan diri mereka lebih sedikit untuk mengubah seorang lelaki dengan cinta?

MasyaAllah.


Saya amat menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan saya melainkan perempuan menyayangi diri mereka sendiri. Menjaga diri dari kerosakan. Menjaga diri dari kemungkaran. Mempersiapkan diri menjadi hamba Allah yang taat. Buat apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang.

Maka amat menyedihkan saya jika…

Bila sayang, akan datang ambil berat. Semestinya demikian. Saya amat hairan kalau seseorang itu menyatakan sayang kepada si fulan: “Aku sayang sangat dengan kau” kemudian dia melemparkan si fulan itu ke dalam api. Mustahil itu adalah sayang.

Maka kerana sayang itu jugalah saya akan terluka apabila melihat perempuan-perempuan berkeliaran tanpa menutup aurat. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercedera apabila melihat ada perempuan-perempuan tidak menjaga maruah mereka dan berpeleseran dengan lelaki tanpa segan silu. Kerana sayang itu jugalah saya akan terasa apabila melihat perempuan-perempuan menayangkan akhlak buruk mereka. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercucuk dengan perempuan yang tiada rasa malu pada diri mereka.

Kalaulah perempuan tahu bahawa mereka memegang nasib dunia. Mereka bakal ibu dan isteri. Ibu kepada anak dan isteri kepada suami. Nyatakan kepada saya bagaimana mereka ini tidak memberikan kesan kepada dunia? Semestinya mereka ini memberikan kesan. Dan kesan yang diberikan oleh kamu wahai perempuan, bukannya sedikit bahkan besar.

Sudah wujud di dalam sejarah, kerajaan hebat jatuh kerana seorang perempuan. Sudah wujud di dalam sejarah, abid hebat jatuh kerana seorang perempuan.

Sebab itu saya sangat menyayangi perempuan dan sering memikirkan mereka.

Apakah perempuan-perempuan memikirkan diri mereka sendiri?

~Maksud sayang pada saya adalah = Hendak masuk syurga bersamanya.

Maka kalau tak nak masuk syurga dengan saya, at least kamu kena lah rasa hendak masuk syurga dengan diri kamu wahai perempuan. Maka jagalah diri, persiapkan peribadi. Kamu pemegang masa hadapan dunia. Dan tiada yang memberikan kesan lebih besar terhadap dunia selain kamu wahai perempuan.

Kalaulah kamu tahu betapa sejuknya mata ini melihat perempuan-perempuan yang berakhlak. Kalaulah kamu tahu betapa senangnya jiwa ini melihat perempuan-perempuan yang pemalu. Kalaulah kamu tahu betapa seronoknya kalbu ini melihat perempuan-perempuan yang menutup aurat. Kalaulah kamu tahu betapa tenangnya diri ini melihat perempuan-perempuan yang menjaga batas pergaulan.

Wahai perempuan, tidakkah kamu memandang diri kamu berharga?
Maka jangan murahkan...
Siapkan dirimu untuk menggoncang masa hadapan dengan keimanan dan ketaatan.
Bukan dengan kehancuran dan kerosakan.
Sungguh, saya merayu di sini. Agar kamu mencintai diri sendiri...


Tiada ulasan: